Monday, November 8, 2010

Mana Pusat Informasi Bencana Negara?

Secara peribadi saya berasa amat kecewa dengan kegagalan mendapat akses maklumat terkini banjir yang melanda negara terutama di kawasan Utara tanahair. Tidak ada satu sumber akses maklumat lengkap yang menyediakan kesemua info yang penting untuk rakyat.
Laman web Malaysia Airports Berhad, yang mengawal selia semua airport di Malaysia, tiada langsung hebahan tentang airport terjejas (e.g Airport Sultan Abdul Halim, Alor Setar) dan berapa lama ia akan ditutup? MAB tidak peka langsung dan malah tidak cuba menyalurkan maklumat yang perlu untuk masyarakat.
Berbeza langsung dengan PLUS yang sentiasa mengemaskini laman web dan khidmat pelanggan telefoni mereka untuk membantu rakyat merancang perjalanan dengan memberi pilihan-pilihan exit yang boleh dilalui dengan selamat.
Susah sangat kah nak menyediakan laman web utama menjadi rujukan mutlak bagi semua rakyat? Laman web malaysia.gov.my pun hanya sekadar laman web statik menyediakan link ke laman web-laman web lain. Laman web Majlis Keselamatan Negara pun tidak terkini dan interaktif, sekadar menyenaraikan kod-kod arahan dan prosedur. Laman web 1 Malaysia pun tak lebih dari laman web promosi dan aktiviti.
Sepatutnya, kita mempunyai satu laman web utama yang menjadi rujukan untuk semua kes-kes bencana. Di mana banjir berlaku? Jalan mana ditutup? Kawasan mana terjejas teruk? Operasi apa yang terjejas di kawasan tersebut? Apa alternatif untuk sampai ke kawasan tersebut? Apa nombor-nombor yang patut dihubungi untuk tahu maklumat lanjut?
Menyedihkan apabila terpaksa merujuk laman web MAS untuk mendapat maklumat terkini (bagi yang dijadualkan menaiki penerbangan MAS) dan harus merujuk laman web Air Asia untuk rujukan penerbangan Air Asia. Walhal, apabila airport ditutup, ia adalah isu nasional dan bukan sekadar masalah terpencil penerbangan MAS atau Air Asia.
Macam mana pula waris-waris yang berada di luar kawasan sedangkan ibu bapa dan saudara mereka terpaksa berpindah ke tempat pemindahan sementara? Bagaimana mereka hendak mendapat akses dan mengetahui maklumat tentang keluarga mereka? Bagi penduduk lain yang terjejas bekalan air tetapi tidak terlibat banjir, bagaimana mereka hendak tahu kekerapan lori bantuan air ke kawasan mereka?
Adakah cukup hanya menunggu berita di TV sahaja? Sedangkan berita yang dilaporkan adalah pelbagai dan bukan tertumpu pada isu bencana semata-mata. Paling ketara, ketika Pilihanraya kecil Batu Sapi dan Galas baru-baru ini telah menenggelamkan berita banjir yang berlaku. Adakah rakyat mendapat maklumat yang cukup untuk membuat persediaan?
Saya percaya semua orang sedar tentang hakikat ini, tapi kenapa tiada siapa yang berbuat sesuatu untuk memperbaiki kelemahan penyaluran maklumat ini? Tidak ada kah bijak pandai dalam perkhidmatan awam (yang menuntut diberikan bonus saban tahun) memikirkan hal ini dan mencadangkan langkah proaktif mengatasinya? Tidak adakah blog lain yang lebih berinformasi daripada sekadar menghentam sini sana (sama saja blog pro kerajaan atau blog pro pembangkang) tanpa tujuan? Menyedihkan....